Sunday, October 30, 2011

Hiburan Berlebihan Budaya Siapa?




1. Isu hiburan di dalam Islam sudah banyak dikupas oleh ramai ulamak. Dr Yusuf al-Qardhawi ada menulis buku khas tentang isu hiburan di dalam Islam. Beliau juga ada mengulas di dalam bukunya Malamih Mujtama; Muslim. Dr Abd Karim Zaidan menulis tentang hiburan di dalam jilid ke 4 bukunya Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah. Dr Abdullah Naseh Ulwan ada juga menghuraikan isu hiburan ini di dalam mukadimah lirik koleksi nasyid Abu al-Jud. Ini antara tulisan terbaik di dalam isu ini yang saya jumpa. Dan tentunya banyak lagi tulisan yang baik yang saya tak jumpa, tersebar luas di dalam dunia penulisan Islam. Saya tidaklah merujuk kembali kepada buku-buku itu untuk menulis entry ini, kerana isu ini tidaklah susah sangat untuk difahami.

2. Hiburan yang diharamkan adalah yang berlawanan dengan batas syarak seperti percampuran lelaki perempuan, disertai arak, tarian yang mengghairahkan, ayat-ayat yang mengandungi unsur lucah, membawa kepada kelalaian sehingga terabai perkara-perkara fardhu dan begitulah seterusnya. Isu muzik dan suara wanita; ini adalah perkara khilaf yang juga sudah banyak diperbincangkan ulamak. Begitu juga isu paparan gambar-gambar wanita jelita yang menutup aurat. Selagi mana ianya khilaf, maka terpulanglah kepada masing-masing untuk menilai dan mentarjih.

3. Jika hiburan itu dapat dikawal sehingga ianya benar-benar menepati syarak, ia masuk di dalam kategori perkara harus (mubah). Perkara harus tidaklah harus secara mutlak. Imam Muhammad Abu Zuhroh misalnya meletakkan bahawa perkara yang harus tidak boleh ditinggalkan secara mutlak dan juga tidak boleh dilakukan berterusan secara mutlak. Tidak harus seseorang untuk meninggalkan makan minum secara mutlak kerana ia akan membawa kepada kemusnahan jiwa. Tidak boleh juga berhiburan secara berterusan siang dan malam kerana ia akan membawa kepada terabai perkara-perkara fardhu.

4. Islam tidak menolak hiburan tetapi sebaliknya meletakkannya pada posisinya yang tobie, iaitu sebagai tahsiniat di dalam kehidupan. Dikawal dengan kawalan tertentu agar ia tidak memusnahkan perkara-perkara dhoruriat di dalam syariat.

5. Hiburan di negara kita sudah melebihi saiz dan dos yang dibenarkan oleh syariat. Suasana dalaman rumah yang dikuasai oleh tv dan siaran radio, budaya berhibur sehingga melebihi lewat malam, kandungan siaran tv dan isi kandung perbualan di radio, cerita-cerita dan gosip di dalam media cetak dan lain-lain lagi menjadi bukti kepada apa yang saya sebutkan ini. Apabila ia sudah melebihi tahap, maka natijah dari itu adalah pengabaian banyak kefardhuan, tanggungjawab, perlanggaran hak dan sifat-sifat negatif yang mendarah daging di dalam diri individu muslim.

6. Mengawal hiburan adalah tanggungjawab semua pihak; kerajaan, pembangkang, ngo, parti, pertubuhan Islam, jawatankuasa penduduk, jawatankuasa surau, penghulu, majikan, ibu bapa dan setiap individu. Islam mempunyai budayanya yang tersendiri, dan setiap orang Islam bertanggungjawab untuk mengekalkan budaya tersebut.

7. Apabila isu hiburan ini dipolitikkan, yang ruginya adalah orang Islam. Apabila kerajaan negeri Kedah membuat keputusan menutup pusat hiburan selama sebulan di dalam bulan Ramadhan, umat Islam sepatutnya bersatu untuk menyokongnya kerana ia adalah jalan yang akan meningkatkan pembudayaan Islam di dalam negeri. Sekarang dipaparkan pula kerajaan Melaka membenarkan15 pusat hiburan dibuka sehingga jam 3 pagi hari Jumaat-Ahad, maka sekali lagi umat Islam patut bersatu untuk menghalangnya.

8. Jika ada yang mengatakan bahawa itu hak bukan Islam, maka ia perlu dibenarkan kepada mereka; pandangan saya, perkara ini perlu dilihat melalui dua perspektif:

a. Islam adalah agama negara ini. Hak ini diberikan oleh perlembagaan dan juga dari segi sejarah negara ini sendiri. Budaya yang mesti dominan adalah budaya Islam. Hiburan akan dikawal berdasarkan budaya Islam tersebut. Dengan itu jadual tutup buka pusat hiburan, iklan, barang jualan dan sebagainya sepatutnya disusun ke arah mengekalkan budaya Islam tersebut dan bukan mengubahnya. Budaya yang asing dari budaya Islam tidak sepatutnya kelihatan secara nyata di dalam kehidupan zahir masyarakat.

b. Orang bukan Islam sendiri tidak semuanya suka hiburan yang berlebihan itu. Barat sendiri yang merupakan kiblat mereka sudah mula meletakkan disiplin tertentu kepada isu hiburan di negara mereka. Mereka sudah keletihan melayan orang mabuk yang tersilap masuk rumah, muntah-muntah di laluan pejalan kaki, pemandu teksi yang merungut kerana dipaksa untuk bekerja sehingga lewat malam demi pemabuk yang mahu pulang ke rumah, kes-kes kecurangan suami isteri, anak-anak luar nikah yang menuntut hak secara tiba-tiba, jenayah rogol yang tidak boleh dikawal, kadar kemurungan yang tinggi, pengambilan dadah yang sudah tidak boleh dikawal, anak-anak yang liar dan ketagihan arak yang membawa kepada penyakit yang pelbagai.

9. Apabila kita bercakap tentang larangan dan kawalan hiburan, selain sistem dan penguatkasaan undang-undang, kita juga bercakap tentang pembudayaan. Tetapi, sudah pasti bahawa pembudayaan bukan satu perkara yang mudah. Pembudayaan adalah projek jangka masa panjang yang hanya akan dilihat hasilnya dengan perubahan generasi demi generasi. Sikap kita hari ini akan menentukan apakah budaya yang akan muncul nanti dalam masyarakat.

10. Akhirnya saya menyeru kepada semua terutamanya pihak berwajib dan berpengaruh di dalam masyarakat dan negara agar mengambil langkah yang betul di dalam isu hiburan di negara kita ini.

Wallahu al-Musta’an

Ustaz Fauzi Asmuni

Friday, October 28, 2011

Aspirasi

Assalamualaikum dan Salam Perjuangan.

sudah dua bulan berlalu semester pertama bagi sesi 2011/2012, berbagai perkara telah berlaku disekitar UKM dan ada sesetengahnya membawa isu yang hangat seperti Isu Konsert Pesta konvokesyen, Isu kenaikan Harga Yuran, Isu Perang Dectar dan bermacam lagi isu yang akhirnya berlalu begitu sahaja.

Pada Posting kali ini, TSB sangat tertarik dengan satu Post yang dikeluarkan oleh En. Anuar Ahmad dalam blognya iaitu Elok Bubarkan Sahaja Aspirasi dan Beri Pula Laluan Pada TSB dan TSB menyambut baik cadangan tersebut namun dalam masa yang sama TSB memberi peluang kepada Aspirasi bagi mereka menguatkan semula Jentera dan barisan kepimpinan mereka.

Sejarah membuktikan kemenangan Aspirasi dalam lapan pilihan raya kampus yang bermula dari tahun 2003 adalah diilhamkan oleh TSB. kewujudan Aspirasi itu sendiri adalah lahir daripada pemimpin-pemimpin TSB terdahulu yang mahukan satu anjakan paradigma baru dalam gerakan mahasiswa era millenium. namun begitu, adakah pendokong-pendokong Aspirasi seterusnya itu meneruskan apa yang telah dilakukan oleh pejuang-pejuang terdahulu. Mahasiswa perlu tahu tanpa TSB Aspirasi tidak akan mampu bertahan terutamanya dalam Pilihan raya Kampus sepanjang Kewujudan Aspirasi. TSB adalah jentera yang menggerakkan Aspirasi.

Sebelum ini, TSB sudah memberikan kritikan dan pandangan selepas kekalahan Aspirasi selepas lapan tahun memerintah, namun sehingga ke hari ini masih tidak dapat dilihat satu anjakan baru bagi mengembalikan semula kepercayaan Mahasiswa kepada Aspirasi. Malah GMUKM dilihat lebih drastik dengan tindakan membuat sebuah Group di Facebook bagi menarik Mahasiswa tahun satu sebelum pendaftaran bermula lagi.

kalau dilihat dari segi penganjuran program-program Aspirasi dilihat semakin jauh ketinggalan berbanding dengan GMUKM pada tahun ini. walaupun GMUKM menggunakan ISIUKM sebagai platform untuk melaksanakan program, namun Mahasiswa tetap memberi kredit kepada GMUKM kerana mereka adalah entiti yang sama. program-program yang dihasilkan mereka adalah pelbagai dan adakalanya berbentuk keintelektualan dan ianya menunjukkan bahawa Aspirasi sangat jauh ketinggalan di belakang. Mungkin Aspirasi boleh menggunakan program-program Kolej sebagai platform kerana kebanyakan Jaksa adalah terdiri daripada ahliahli Aspirasi dan penubuhan Aspirasi peringkat Kolej dilihat sebagai tulang belakang kepada setiap program yang dianjurkan oleh Jaksa. kenapa Aspirasi tidak mengambil peluang?

bagaimana dengan isu-isu nasional? adakah Aspirasi sebagai sebuah pergerakan mahasiswa yang dihormati itu peka dengan isu-isu seperti bajet 2012 yang dibentangkan? dimana pendiriran Aspirasi dalam isu-isu tertentu? Aspirasi semakin kurang peka dengan isu-isu nasional seperti beranggapan ianya tidak penting, Aspirasi seharusnya lantang menyuarakan pandangan dan pendapat bagi bersama-sama masyarakat untuk membangunkan negara. walaupun ianya dilihat remeh namun ianya memperlihatkan keintelektualan Aspirasi kerana mereka sangat cakna kepada isu-isu semasa.

dalam konteks kebajikan, walaupun tahun ini, Aspirasi bukan lagi penghuni pejabat PMUKM namun, MPP Aspirasi harus lebih aktif dan konsisten dalam melakukan dan mengetengahkan isu-isu kebajikan kepada Mahasiswa. bilangan 15 orang MPP dilihat adalah lebih daripada cukup untuk membentuk sebuah jawatankuasa untuk melaksanakan tugas-tugas kebajikan. dalam hal ini, kerjasama antara MPP dan Jentera dan ahli Aspirasi adalah sangat perlu dalam menjalankan gerak kerja. dengan adanya kerjasama ini tidak akan timbul isu yang "Aspirasi Hanya wujud dalam PRK". dan satu yang perlu diingatkan kegagalan MPP GMUKM untuk membawa satu isu kebajikan tidak seharusnya dijadikan satu isu untuk dihentam, sebaliknya Aspirasi Haruslah mengambil peluang kepada keadaan tersebut untuk cuba menyelesaikan kerana saf kepimpinan Aspirasi terdiri daripada berbilang kaum dan dilihat ianya lebih kuat. Namun begitu, adakah ianya pernah dilakukan oleh Aspirasi semenjak kekalahan mereka?

Adakah TSB perlu kembali memipin gerakan Pelajar? kritikan TSB bukan untuk menjatuhkan Aspirasi tapi sebaliknya untuk memberi kesedaran semula kepada Aspirasi kerana Aspirasi dilahirkan oleh TSB dan perjuangannya adalah ditunjangi oleh ahli-ahli TSB. Dalam Hal ini, Muhasabah diri adalah perlu bagi meneruskan perjuangan. TINDAKAN SISWA BERSATU tidak pernah mati.

Perpaduan Asas Keharmonian

Kenapa Kita Perlu Risau Sekarang

Ingin saya kongsikan dengan pembaca apa yang saya rasai sekarang ini. Perasaan ini mungkin telah pun dikongsi bersama oleh ramai yang lain kerana kelihatannya ramai juga yang menulis meluahkan perasaan yang sama. Apabila ramai yang rasa begitu, saya makin yakin bahawa kita sememangnya perlu betul-betul risau sekarang ini.

Pertamanya; saya rasa ahli politik Melayu Muslim kita telah terlajak banyak dan agak jauh. Usaha jatuh menjatuh sudah menjadi suatu yang tidak lagi ada disiplin dan peraturan. Pertarungan menjadi tidak ketahuan natijah. Yang menang yang kalah, kedua-duanya akan rugi. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Maqasid syarak jadi mainan mulut, video seks jadi bahan tonton percuma, maruah peribadi menjadi bahan jenaka, agenda kumpulan dikecilkan menjadi agenda peribadi, rakyat dibakar dengan semangat tanpa bimbingan ilmu, maklumat betul atau salah tidak lagi menjadi perkiraan, yang berkuasa makin rakus mengambil peluang dari sisa kuasa yang berbaki, yang ingin merebut kuasa tidak pula kelihatan bersedia ….

Keduanya; kita seolah-olah tidak peka dengan agenda bukan Islam. Kita lupa sejarah mereka, kita lupa falsafah perjuangan mereka, kita lupa tabiat dan sikap mereka. Mereka konsisten, tapi kita menyangka bahawa mereka telah berubah. Lidah tutur setiap parti dan pertubuhan mereka sama; walau pun duduk di kem yang berbeza. Sedikit persamaan cita-cita kita dengan mereka melupakan kita pada perbezaan yang banyak di antara kita dan mereka.

Ketiga dan terakhir buat kali ini; yang lebih membimbangkan saya adalah ramai orang Islam tidak tahu mereka nak apa ……

Ustaz Fauzi Asmuni

Thursday, October 27, 2011

Perjuangan Negeri Melayu Untuk Orang Melayu Eipsod 1


Pengkajian mengenai sejarah keberlansungan negara Malaysia dapat dilihat dalam pelbagai sudut yang mempunyai pengertian dan singkapan yang tersendiri. Sesuatu yang jelas ialah mengenai keistimewaan orang melayu sebagai penduduk pribumi negara ini. Melayu dapat didefinisikan sebagai sebagai penduduk peribumi yang bercakap di dalam bahasa Melayu, beragama Islam, dan yang menjalani tradisi dan adat istiadat Melayu. Tetapi dari segi definisi budaya, Melayu itu merangkumi seluruh penduduk peribumi di Dunia Melayu, iaitu penduduk serumpun tanpa mengambil kira agama, bahasa, dan adat istiadat masing-masing yang diikuti oleh masing-masing kelompok serumpun tersebut.

walau apa pun konsep yang diketengahkan mengenai konsep melayu di negara ini, namum kaum melayu merupakan penduduk pribumi negara ini dan seharusnya hak dan keistimewaan yang diterima tidak harus dipertikaikan. Hal ini selaras dengan konsep kontrak sosial dimana kesediaan kaum melayu untuk menerima kehadiran kaum lain di negara ini.

Namun persoalan yang telah tercatat dalam sejarah melayu, kaum-kaum imigran ini telah menuntut sesuatu hak yang bukan termaktub di dalam perundangan Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu. Tuntutan kaum bukan melayu ini semakin jelas selepas perang dunia kedua iaitu sekitar tahun 1945. Antara perkara utama yang menjadi isu pada masa tersebut iaitu berkaitan dengan hak kewarganegaraan serta beberapa perkara dalam bidang ekonomi dan sosial. Keadaan ini merupakan ancaman secara halus kepada penduduk di Tanah Melayu terutamanya kepada masyarakat melayu.

Persoalan kepada perbicangan ini adakah perjuangan untuk menubuhkan sebuah negeri melayu untuk orang melayu itu terhasil dan penentangan orang-orang bukan melayu dengan perjuangan mereka menuntut hak dan keistimewaan mereka serta perjuangan golongan-golongan kiri dalam membentuk sebuah negera bangsa malaysia. Nantikan bahagian seterusnya.

Monday, October 24, 2011

Reminiscences of Abang Besar of Libya




Dalam surat-surat terakhirnya kepada Commandante Che Guevara, Yang Teramat Mulia Dr. Fidel Castro seringkali memujuk mengajaknya kembali ke Cuba. Ketika menulis surat-surat tersebut, Fidel menyebut tentang kestabilan Cuba yang mereka perolehi sesudah revolusi. Celia Sanchez menyentuh tentang romantisme revolusi itu sendiri, dan bagaimana pendukung revolusi itu perlu meneruskan legasi yang terbentuk bagi menjaminnya terus hidup. Namun Che Guevara ialah seorang revolusioner, yang tegas bahawa seorang revolusioner perlu berjuang, bukan sekadar mentadbir meneruskan legasi sebuah revolusi yang sudah terbentuk. Itu kerja sebahagian besarnya dimonopoli orang politik.

Pada 19 Januari 2009, ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Benghazi, Libya, imej pegun paling kukuh dalam ingatan gua adalah imej Kolonel Muammar Gaddhafi. Selain itu, lapangan terbang Benghazi, dihiasi dengan bangkai-bangkai kapal terbang, kereta kebal dan kubu-kubu tentera (bunkers) yang menyebabkan bulu roma gua sedikit meremang. Suasana Argentina ketika Ongania dan Chile ketika Pinochet sentiasa bermain dalam kepala hotak gua.

Suasana Libya, yang disurahkan kepada gua sebelum ke sana, adalah mirip Syria ketika Assad (bapa) memerintah. Tahun 1996, pertama kali ke Syria, adalah pengalaman yang sangat tidak menyeronokkan. Gambar kepala Assad (plague) yang menyerupai sisi Queen Elizabeth pada wang syiling British, wujud di setiap 360 darjah pemandangan. Perjalanan terasa bagaikan diperhati, pergerakan rasa bagaikan diekori, dan sebaik melepasi sempadan untuk ke Turki, hati rasa lega bagaikan baru lepas kena interview dengan pak mertua ketika kali pertama bertemu.

Tapi Benghazi adalah dunia yang berbeza. Warganya tidak langsung bimbang untuk mengkritik Gaddhafi. Mungkin pada mereka Gaddhafi berada 1200 kilometer nun di Tripoli, rasa bimbang tidaklah begitu hebat. Namun masih dalam berhati-hati, kerana para soldadu, mukhabarat dan polis rahsia sentiasa menjadi mata dan telinga. Beruntung, kerana gua sampai di Libya pada tahun 2009, bukannya ketika era embargo, saat ahli keluarga boleh menjadi tali barut pemerintah, saat isteri boleh menghantar suami ke penjara rahsia dengan hanya satu panggilan dan dibalas ganjaran wang, saat anak boleh menyebabkan ibu-bapa diheret polis rahsia hanya untuk merebut harta pusaka.

Libya pada 2009 sudah sangat terbuka. Pelabur luar sudah mengerumun untuk mengaut kekayaan minyak Libya. Dasar Gaddhafi juga sudah sedikit berubah. Selepas 40 tahun revolusi, Gaddhafi tahu bahawa hari-hari akhirnya semakin hampir. Saiful Islam lebih banyak memainkan peranan pentadbiran, menjadi penghubung untuk negara-negara Eropah, menjadi pemikir untuk menarik pelabur. Namun, The Leader masih lagi kuasa tunggal dan mutlak. Mana mungkin bangsa Arab diperintah oleh demokrasi, buktikan!

Pembangunan di Libya sangat pantas. Dengan rizab minyak yang paling besar di Afrika, dan kesepuluh terbesar dunia, duit bukanlah satu masalah, pada ketika warganya cuma berjumlah sekitar 6 juta orang. Rumah-rumah kediaman didirikan di segenap pelusuk negara. Dari bandar besar di Tripoli dan Benghazi, sehinggalah pekan-pekan kecil di Nalut dan Beyda, rumah-rumah kediaman dibina sebesar saiz rumah Semi-D kebanggaan rakyat Bolehland. Dan sebahagian besar rumah kediaman diberikan secara percuma. Tanpa sebarang bayaran. Bahkan pemuda yang berkahwin, yang mengikut skim bantuan kerajaan, akan menerima sebuah rumah, kereta dan wang sara hidup pada awal perkahwinan.

Pendidikan di Libya adalah percuma. Tanya sahaja kepada mereka yang belajar di Libya dan menerima biasiswa selama pengajian di sana. Mereka menerima penempatan, wang saku dan tiada bayaran yuran pengajian. Itu untuk warga luar, apatah lagi untuk anak bangsa mereka sendiri. Lihatlah bagaimana mewahnya kehidupan pelajar Libya di Kuala Lumpur yang menerima sekitar 5-7 ribu sebulan duit biasiswa kerajaan. Lihatlah bagaimana meriahnya kedutaan Libya satu ketika dahulu setiap awal bulan, ketika mereka beratur untuk mengambil habuan masing-masing.

Kebanyakan hospital di Libya adalah percuma. Ketika era embargo, para doctor dan jururawat kesemuanya didatangkan dari negara blok kiri. Bahkan sehingga ke hari ini, kebanyakan hospital kerajaan masih lagi menggaji para doctor dan jururawat luar. Bahkan hospital-hospital kebanyakannya dinamakan mengikut kerakyatan doctor dan jururawat dominan di hospital itu sendiri. Ada hospital Bulgaria, hospital Malta, hospital Rusia dan sebagainya. Lebih menarik, kerajaan mendirikan hospital-hospital pakar dan sangat sedikit hospital umum. Jika tangan patah terus sahaja ke hospital pakar tulang, untuk kanak-kanak sudah tersedia hospital pakar pediatric dan seterusnya. Dalam radius 20km di Tripoli sahaja ada dua hospital pakar tulang, bukti warga Libya memang kerap patah kaki dan tangan.

Di sebalik pembangunan yang sangat pesat, khususnya di Tripoli, Gaddhafi sentiasa mengawal perkembangan ekonomi yang diterajui oleh Saiful Islam. Gaddhafi tidak mahu Libya menjadi seperti Dubai, yang akhirnya didominasi oleh warga asing. Gaddhafi tetap mahu Libya diterajui oleh warga Libya sendiri. Syarikat asing yang melabur diwajibkan membuat JV dengan syarikat tempatan. Setiap seorang pekerja luar yang dibawa masuk, mestilah dalam tempoh lima tahun mampu mencurahkan kepakarannya kepada 5 orang warga tempatan. Urusniaga kadangkala menjadi terlalu sukar kerana pelbagai kekangan birokrasi, yang rupanya bertujuan untuk mengawal ekonomi negara. Untuk mendapatkan bayaran bagi sebuah projek, adakalanya mengambil masa sehingga setahun, sesudah mendapat kelulusan pelbagai peringkat, selepas mendapat kepastian pakar-pakar yang diupah dari luar dan mendapat lampu hijau kewangan daripada People’s Congress sendiri.

Kesemuanya kelihatan sangat socialist. Kadangkala sangat communist. Tapi siapa yang dapat menafikan bahawa di sebalik communism dan socialism itu banyak tersembunyi pelbagai keindahan, dan ada ketikanya kesedihan. Revolusi, bagi kebanyakan warga, adalah indah pada awalnya sahaja. Jubilant at the very beginning, pain in the mid, and ending with horror.

Gaddhafi terlepas pandang pada bahagian Timur, yang kebanyakan masih didokong oleh penyokong Raja Idris. Mereka geram kerana penumpuan awal pembangunan di Libya tertumpu pada Tripoli dan Sirte. Walaupun revolusi yang dipimpin pada usia 27 tahun itu tidak menumpahkan setitis darah, cengkaman dictator selama 42 tahun pemerintahannya memang menyebabkan rakyat Libya hidup dalam kebimbangan. Tapi di negara Arab mana yang kebebasannya memungkinkan rakyat untuk bersuara bebas mengkritik sang pemimpin? Lebanon yang mencuba sejak sekian lama masih lagi belum bertemu noktahnya.

Tapi lewat ini, Gaddhafi kelihatan semakin toleransi. Ketika perancangan pembangunan ekonomi negara diserahkan kepada Saiful Islam, negara Libya sememangnya melalui satu era yang menyebabkan seluruh pelabur dunia boleh meleleh air liur. China dan Turkey, adalah contoh dua negara yang menggunakan sepenuhnya hubungan baik dengan Libya bagi kepentingan para pelabur mereka. Bahkan kerajaan China dengan kuasa buruh yang dominan, telah bertindak bijak memberikan pembangunan untuk ditukar dengan minyak. Rumah-rumah yang dibina oleh kerajaan China melalui syarikat-syarikat pelaburan mereka, kadangkala gua rasa tidak masuk akal. Rakyat Libya cuma sekitar 5 juta orang, tapi kawasan perumahan baru yang dibangunkan bagai mahu menampung 15 juta penduduk.

Satu ketika, seorang Project Manager yang baru pertama kali tiba di Tripoli bertanya kepada gua, di manakah rakyat Libya yang miskin? Ini kerana dia melihat rumah-rumah besar di sepanjang jalanraya Tripoli seakan mustahil untuk mengatakan kewujudan warga yang miskin. Betul, mustahil jika tiada yang miskin. Gua bawa bersiar ke Janzour untuk melihat rumah-rumah flat tepi laut, juga anak-anak muda yang melepak tepi jalan setiap malam sambil melayan ganja, katanya ini tidak susah, kerana mereka masih tetap punyai tempat tinggal.

Itulah satu factor yang menyebabkan kita perlu rasa cemburu. Penempatan untuk warganya tidak dibina sekadar melepas batuk ditangga. Rumah flat yang paling bangsat di tepi laut di Janzour pun ada 4 bilik tidur serta dua ruang tamu. Warga Benghazi yang memaki hamun Gaddhafi itu, tinggal di rumah-rumah flat yang 4 kali lebih besar daripada flat bandaraya kebanggaan DBKL. Sejauh Darna dan Tabruq, yang mempunyai tanah yang lebih luas, rumah-rumah kediaman yang dibina adalah lebih mewah. Semi-D 4 atau 5 bilik, adalah sesuatu yang sangat biasa. Semuanya dibina konon untuk dijual tapi pada akhirnya rakyat akan memiliki tanpa perlu membuat sebarang bayaran.

Secara umum, kekayaan hasil minyak memang diagihkan dengan sebaiknya. Gaddhafi mahu memberikan semua benda kepada warganya, supaya mereka terus gembira dan diam. Penganggur yang mengangkat senjata bersorak dan berlagak ala guerrilla dalam TV yang lu orang lihat itu, membesar dengan duit subsidi negara. Lelaki berjambang dan berjanggut yang mengetuk kepala Gaddhafi itu, gua sangat yakin setiap bulan akan ke stor-stor makanan menghulurkan kad pengenalan untuk digantikan dengan tepung, gula, spaghetti, minyak dan beras. Atau paling kurang, kesemua mereka yang membenci Gaddhafi di Benghazi itu, tidak membayar bil elektriknya!

Benar, gua sendiri sudah jemu melewati pintu besar penjara Abu Slim yang menjadi igauan ngeri setiap warga Libya itu. Betul, di penjara itu jugalah 1200 orang inmates ditembak mati hanya satu malam. Betul juga, ketika pemerintahannya Gaddhafi menjadi satu ikon yang menakutkan bagi mereka yang cuba bersuara untuk menentang. Betul juga, Libya tidak pernah mengadakan pilihanraya dan tiada satu parti politik pun yang wujud ketika era Gaddhafi.

Tapi, apa perlunya igauan ke atas sebuah penjara yang punya hanya tiga bangunan dan selebihnya kawasan lapang jika lu hanya perlu biarkan Gaddhafi terus berkuasa dan rakyat menikmati semua benda secara percuma? Apa perlu lagi bimbangkan satu susuk seperti Gaddhafi pada ketika rakyat memang menikmati hasil kekayaan negara secara sama rata? Betul, Gaddhafi menzalimi rakyatnya, tetapi apakah semua mereka dizalimi? Tolong baca ini dalam konteks politik dunia Arab yang sangat unik dan bukannya pada skala politik tempatan. Demokrasi pada dunia Arab tidak akan berhasil tetapi Malaya landskap politiknya adalah berbeza dan kita bukanlah sebuah negara bangsa yang terbina dengan pelbagai kabilah seperti bangsa Arab. Jangan selepas ini ada yang mahu pulangkan paku buah keras pada gua agar menerima kezaliman dan ketidakadilan UMNO selama puluhan tahun ke atas bangsa Malaysia. Itu senario yang berlainan.

Kembali ke Libya, dan Gaddhafi yang memang tidak lari daripada sebarang kesilapan. Akibat tidak memberikan tumpuan pada kawasan rural, di bahagian Timur, di Benghazi sehingga ke Tobruk di sempadan Mesir, maka anasir asing mulai mencucuk jarum. Atas dasar yang semakin terbuka, Britain dan Peranchis juga turut melabur, tetapi tumpuan hanya diberikan di bahagian Timur. Benih yang disemai sekian lama akhirnya membuahkan hasil lewat revolusi Bou Azizi di Tunisia.

Pada satu majlis, bersama dengan rakyatnya di Al-Wahat, Gaddhafi telah ditanya tentang rumah-rumah kediaman yang telah siap dibina, atas tanah-tanah yang diambil daripada rakyat tetapi masih belum diserahkan dan belum berpenghuni. Dengan sikap bersahajanya Gaddhafi memberitahu mana-mana rumah yang sudah siap, bolehlah sesiapa pun nak masuk. Kejadian itu berlaku pada 14 Januari 2011. Dan malam itu, bukan sahaja di Al-Wahat, bahkan di seluruh pelusuk Libya, semua projek-projek perumahan telah diserbu. Kediaman yang sudah siap terus diambil. Sampai tak cukup, rumah baru nak naik "ground beam" pun sudah ada kutu pacak khemah.

Akibatnya, Libya sedikit huru hara. Semua orang mahu dapat rumah percuma. Mahu atau tidak kehendak rakyat masih terpaksa dituruti. Kerajaan terpaksa berlembut. Walaupun sebenarnya, ucapan Gaddhafi itu hanya untuk penduduk Al Wahat, tetapi seluruh Libya berpesta mengambil unit kediaman percuma. Ketika Tunisia sedang panas dengan revolusinya, Gaddhafi terpaksa sedikit sebanyak berlembut.

Dari sinilah, musuh melihat bahawa tekanan boleh digunakan. Dari sinilah mereka mencuba dan tahu bahawa mereka perlu berani melawan. Walaupun sebenarnya mereka tiada sebarang tuntutan sangat yang perlu untuk dilaungkan. Ketika rumah percuma, pendidikan percuma, kesihatan percuma, rizab minyak makan tak habis, harga minyak seliter 20 sen boleh isi sampai tumpah-tumpah, makanan murah tiada cukai import, beli kereta dengan harga murah boleh buat loan tak payah interest, musuh-musuh Gaddhafi hanya melaungkan isu hak asasi manusia sahaja, kerana itulah modal terbaik yang dimiliki oleh Peranchis dan Britain, yang ketika itu sedang berusaha mencari sumber minyak alternatif dan berdepan dengan krisis bekalan tenaga.

Dalam ucapan terakhirnya, Gaddhafi menyebut yang dia akan melawan hingga ke titisan darah yang terakhir. Dia tidak akan lari, dan dia sanggup mati di tanahairnya sendiri. Akhirnya Gaddhafi memang mengotakan janjinya. Socialist yang sejati, tidak akan berundur. Tetap teguh dengan pendiriannya, seperti Che yang menolak kesenangan di Cuba, jawatan sebagai menteri, pemimpin tertinggi parti dan komander tentera, sebaliknya mahu terus berjuang di hutan Bolivia, menjaja revolusi untuk membebaskan seluruh benua Amerika. Preferio morir de pie que vivir siempre arrodillado, lebih baik mati berdiri daripada hidup melutut!

Gaddhafi memang zalim, tetapi sezalim dan sejahat Gaddhafi adalah sebaik-baik imperialist Barat. Gua sangat pasti, rakyat Libya akan menyesali apa yang telah terjadi. Al Fatihah untuk Abang Besar, The Leader of the Revolution and the Founder of the Great Socialist People's Libyan Arab Jamahiriya

Di Petik dari: ZULHAZRY MOHD YUSOFF