Wednesday, November 23, 2011

Sekitar Isu Persepakatan Melayu



Saya tertarik untuk mengulas tulisan Iskandar Kamarul Amin yang disiarkan di http://www.malaysiakini.com/news/181922 pada 21 November 2011. Tulisan yang diajukan berkisar di sekitar persoalan kesatuan Melayu dan hubung kaitnya dengan kedaulatan Islam. Ada beberapa pandangan balas yang ingin saya berikan di dalam tulisan saya ini. Walau pun ia adalah pandangan seorang mahasiswa, tetapi saya yakin ia mewakili sekelompok belia yang berada di usia itu. Maka tulisan ini adalah pandangan yang saya tujukan kepada semua yang mempunyai tanggapan yang sama dengan pandangan saudara Iskandar berkenaan isu kesatuan Melayu.



1. Apabila disebut Melayu perlu bersatu, tidak semua rakyat Malaysia akan terfikir kepada penyatuan UMNO-PAS sahaja sebenarnya. Saudara Iskandar sepatutnya menyedari bahawa sesetengah pihak yang memperjuangkan persepakatan Melayu tidak menyempitkannya kepada penyatuan UMNO-PAS tetapi sebaliknya ia adalah agenda untuk ummah Melayu semua sekali. Penyatuan UMNO-PAS mempunyai kepentingan strategiknya yang tersendiri. Kedudukan kedua-duanya sebagai parti politik Melayu Islam yang besar sudah semestinya memberikan suatu kesan strategik kepada kedaulatan Islam. Tetapi kesatuan itu tidak akan pergi jauh tanpa penglibatan bangsa Melayu seramai mungkin. UMNO dan PAS tidak mewakili keseluruhan bangsa Melayu. Masih ramai orang Melayu di luar sana yang sebenarnya tidak cenderung kepada UMNO atau pun PAS. Mereka perlu diajak sekali untuk menjayakan kesepakatan ini. Jadi perbincangan itu sepatutnya dibawa melewati sempadan dua parti politik itu sahaja.



2. Ada beza di antara ‘bersatu’ dengan ‘sepakat’. Walau pun saudara Iskandar nampak tidak berminat untuk membezakan di antara dua istilah ini, tapi tulisan beliau jelas membawa maksud ‘penyatuan’ dan bukan setakat ‘persepakatan’. Penyatuan UMNO-PAS, bukan mudah untuk berlaku. Tetapi ‘kesepakatan’, itu tidak mustahil berlaku dan ia perlu diusahakan agar berlaku. Saya amat yakin kebanyakan pimpinan UMNO dan sebahagian pimpinan PAS mahukan persepakatan itu berlaku, tetapi mungkin ada pengaruh dari luar yang tidak mahukan kesepakatan itu berlaku. Manakala usaha menyatukan UMNO-PAS, rasanya kedua-dua pimpinan parti itu tidak serius untuk memikirkannya kerana ianya agak jauh untuk berlaku di dalam suasana dan percaturan politik sekarang. Dengan ini saya ingin mengajak saudara Iskandar agar balik kepada titik perbincangan yang sebenar (iaitu isu kesepakatan dan bukannya kesatuan) sebagaimana yang dibincangkan di dalam blog-blog dan laman-laman sosial.



3. Tulisan saudara Iskandar seolah-olah tidak mengalu-alukan perpaduan atau kesatuan atau persepakatan UMNO-PAS. Saya tidak pasti samada saudara Iskandar memang mewakili PAS atau pun saudara Iskandar adalah orang luar PAS yang memang tidak mahu kebaikan berlaku kepada PAS. Apa ruginya jika UMNO-PAS bersatu atau sepakat atau berpadu pada titik-titik tertentu? Imej PAS sebagai parti Islam tidak akan tercalar dengan korupsi dalam UMNO. Dasar perjuangan PAS juga tidak akan tersimpang hanya kerana beberapa noktah kerjasama dengan UMNO. PAS boleh menentukan apa yang perlu disepakati dan apa yang tidak perlu. Atau adakah saudara Iskandar rasa sebaliknya?



4. Saudara Iskandar juga dengan jelas kelihatan menjurus untuk menonjolkan keburukan UMNO semata-mata. Sedangkan al-Quran menuntut agar kemarahan kita kepada suatu kelompok manusia tidak menghalang kita memberikan persaksian secara adil kepada kelompok tersebut. Sebahagian beranggapan (mungkin saudara Iskandar pun termasuk sama) bahawa UMNO akan mati sendiri dengan segala korupsi yang dilakukannya. Jadi biarkanlah dia mati. Tetapi sedarkah saudara Iskandar bahawa ada ahli UMNO yang ikhlas berjuang untuk Islam dan bangsa di jabatan-jabatan kerajaan, di dalam badan-badan dan pertubuhan, di pentas akademik, di surau dan masjid, di persatuan penduduk dan sebagainya? Mereka ada kepakaran dan kekuatan yang boleh disalurkan untuk ummah. Apa format saudara Iskandar untuk mereka? Keluar UMNO dan masuk PAS? Berapa peratuskah dari mereka yang akan melakukan demikian? Sebahagian mereka lebih selesa dengan kedudukan mereka seperti sedia ada. Dengan itu format kesatuan atau kesepakatan UMNO-PAS dapat memelihara kekuatan itu dari terbiar tidak digunakan. Atau adakah saudara Iskandar memang berpendapat bahawa ahli-ahli UMNO yang ramai itu memang tidak diperlukan langsung untuk mendaulatkan Islam selagi mereka duduk di dalam UMNO?



5. ‘Kesepakatan UMNO-PAS lebih mendaulatkan Islam atau adakah Islam akan lebih berdaulat jika PAS dan UMNO tidak sepakat.’



Saudara Iskandar nampaknya berfikir dengan satu bentuk pemikiran yang unik apabila di awal penulisan beliau, beliau meletakkan persoalan tajuk ‘Berdaulatkah Islam apabila UMNO, PAS bersatu?’. Saya ingin mengajukan soalan balas ‘berdaulatkah Islam jika UMNO dan PAS tidak bersatu?’. Saya tidak pasti apa neraca yang digunakan oleh saudara Iskandar di dalam menganalisa isu ini sehingga sampai ke pernyataan demikian.



6. Saudara Iskandar juga nampak keliru di dalam mendefinasikan maksud kedaulatan Islam itu. Andaian yang dibuat oleh beliau samada ianya adalah isu murtad atau pentadbiran dan pengurusan atau keadilan untuk ummah atau sudut akhlak atau kerancakan amar ma’ruf nahi mungkar adalah andaian yang dipilih untuk menampakkan kelemahan UMNO. Mungkin juga dengan tujuan untuk menampakkan kesatuan UMNO-PAS itu tidak perlu kerana UMNO tidak cemerlang di dalam isu-isu ‘kedaulatan Islam’ yang dipilih itu. Lalu PAS boleh bergerak bersendirian untuk mendaulatkan Islam.



Kedaulatan Islam sepatutnya ditafsirkan dengan penafsiran yang luas seluas kesyumulan Islam itu sendiri. Islam sebagai agama negara, Islam sebagai sumber rujukan tertinggi, kepimpinan negara di tangan orang Islam, majoriti ahli parlimen yang merupakan penggubal dasar dari kalangan orang Islam, hak-hak muslim terpelihara, maruah Islam dan orang Islam terpelihara, orang bukan Islam memandang tinggi agama Islam dan begitulah seterusnya. Adakah UMNO sepanjang sejarahnya tidak pernah langsung memainkan peranan di dalam mendaulatkan Islam dalam ruang lingkup yang luas itu? Bukan untuk membela UMNO, tapi persoalan ini perlu dijawab oleh seorang mahasiswa dengan neraca ilmiah dan bukan berdasarkan emosi semata-mata. Metodologi ilmu di dalam penilaian mesti berdasarkan angka dan fakta yang menyeluruh bukan ambil satu kes di negeri ini dan satu lagi kes di negeri itu sahaja.



Demikianlah pandangan balas saya terhadap tulisan saudara Iskandar itu. Pada saya isu kesepakatan Melayu adalah isu utama pada masa ini. Pergolakan yang berlaku di dalam negara sekarang menjadikannya isu yang amat utama dan amat penting. Kesepakatan itu pula adalah dalam ruang lingkupnya yang luas dan tidak terbatas hanya di dalam sempadan pakatan parti-parti politik sahaja.



Wallahu a’lam.



Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni

Naib Presiden II

IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA)

Email: mfauzi71@gmail.com

2 comments:

C L J said...

BIARLAH ADA KESEPAKATAN DAHULU. TAK ISTIHAR PUN TAK APA. POKOKNYA DALAM HAL HAL KEPENTINGAN TERTENTU KITA SEMUA KENA SEPAKAT DAHULU. LAMA LAMA BANYAKLAH KELAINAN AKAN MENJADI SERAGAM. LAMA LAMA BANYAKLAH PERBEZAAN AKAN PANDAI MENCARI KEMESRAAN. ATAS KEPENTINGAN BERSAMA YANG PENTING PENTING TU DULU KITA KENA CARI JALAN SEPAKAT. KALAU BENAR BENAR IKHLASLAAAA .....

Pulau Manis DotCom said...

Knp TSB, lama tak menulis?
-Dr x-TSB UKM