Thursday, August 5, 2010

PENYATUAN TUAN TANAH DI BUMI MELAYU....





SHAH ALAM 5 Ogos – Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah hari ini melahirkan rasa dukacita dengan anasir-anasir yang cuba mencabar institusi agama Islam hari ini.

Baginda bertitah, antaranya ialah ajaran sesat, penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam, penyalahgunaan masjid, penglibatan remaja dengan dadah, vandalisme, mat rempit dan gejala sosial.

Justeru baginda mengingatkan umat Islam terutama orang Melayu agar bersatu untuk mempertahankan agama dan bangsa.

‘‘Beta amat berharap agar usaha-usaha dipertingkatkan bagi mengatasi masalah ini dan beta percaya pendidikan adalah penawar utamanya.

‘‘Oleh itu agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat swasta perlu menjayakan program agama dan pendidikan moral kepada kakitangannya.

‘‘Pertubuhan politik dan bukan kerajaan (NGO) pula berusaha mencari titik pertemuan ke arah perpaduan dengan menjadikan pendidikan sebagai agenda perubahan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika merasmikan Sekolah Rendah Agama Integrasi Sesyen 7 di sini hari ini.

Baginda turut berkenan mengisytiharkan nama baru sekolah tersebut sebagai Sekolah Rendah Agama Integrasi Dato’ Mufti Yusof Sahabuddin sempena nama Mufti Selangor yang pertama.

Ia bagi mengenang jasa dan mengiktiraf sumbangan Allahyarham dalam pembangunan Islam di negeri ini.

Hadir sama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Muhammed Khusrin Munawi.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan JAIS dan mereka yang bertanggungjawab dengan pembangunan pendidikan agama di negeri ini agar sentiasa berwaspada dan memastikan para guru dan pendidik agama Islam terdiri daripada mereka yang berpengetahuan, berkelayakan dan mempunyai tauliah.

Titah baginda, ini bagi mengelakkan penyelewengan dan kekeliruan di kalangan pelajar yang akhirnya boleh merosakkan masyarakat Islam di negeri ini.

‘‘Beta menitahkan supaya perkara ini dipandang serius dan tindakan yang tegas perlu diambil kepada mereka yang melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” tegas baginda...dipetik dari Utusan Malaysia 6 Ogos 2010..

No comments: