Monday, February 28, 2011
Nasionalisme Islam
1. Percubaan Dato Nik Aziz untuk memperingatkan saya bahawa saya akan berdiri dihadapan Allah s.w.t. satu masa nanti sedikit sebanyak membuktikan keangkuhannya seolah-olah saya tidak tahu akan agama saya. Saya juga beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan dan diperbuat di dunia ini akan diadili di akhirat nanti.
2. Nik Aziz juga akan berdiri dihadapan Allah satu masa nanti dan segala yang dipertutur dan dilakukan olehnya di dunia ini akan diadili di akhirat nanti dan lidah, tangan dan kaki Nik Aziz akan jadi saksi. Bukan bagi Nik Aziz untuk mengadili saya atau sesiapa dan bukan Nik Aziz yang akan mengadili dirinya sendiri.
3. Sehingga kita diadili di akhirat kita tidak boleh dengan angkuhnya merasa kita tidak berdosa dan orang lain yang berdosa. Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui segala dosa yang dilakukan oleh sesiapa, termasuk Nik Aziz. Dakwaan Nik Aziz yang dianya beriman, setelah mengkafir dan memecahbelah orang Islam, membuat berbagai-bagai tuduhan, akan ditentukan oleh Allah s.w.t. Tidak memadai dengan pengakuan Nik Aziz yang dianya beriman.
4. Saya tidak pernah dakwa yang saya ini selalunya betul dan tetap ke syurga. Saya juga tidak suruh sesiapa menyokong atau mengundi saya kerana itu akan menjamin mereka akan ke syurga di akhirat. Yang membuat dakwaan seperti ini ialah Nik Aziz.
5. Dalam Islam tidak ada paderi yang boleh ampunkan sesiapa, atau menjamin balasan di akhirat kelak. Di Tenang Nik Aziz secara terbuka menghukum orang UMNO sebagai Jahiliah.
6. Untuk tidak menjadi Jahiliah sokonglah PAS. Apakah ulama-ulama Islam yang tidak punyai kepentingan politik sudah putuskan bahawa syarat untuk menjadi orang Islam ialah menyokong PAS? Di manakah dalam Al-Quran dan Hadith yang sahih yang menyebut bahawa hanya dengan menyokong PAS baharulah seseorang itu beragama Islam? Kalau ini benar nenek moyang siapa yang jahil kerana tidak ada PAS masa mereka? Orang Islam lain di luar Malaysia sudah tentu bukan Islam kerana tidak ada PAS di negara mereka.
7. Orang UMNO adalah orang yang beragama Islam, walaupun bagi Nik Aziz mereka bukan Islam kerana tidak sokong PAS. Dunia mengiktiraf bahawa orang Melayu termasuk ahli UMNO dan ahli PAS juga adalah orang Islam. UMNO tidak mendakwa bahawa hanya orang UMNO sahaja yang Islam, atau dengan mengundi UMNO menjadi Islam dan akan ke syurga.
8. Oleh kerana orang UMNO beragama Islam maka perjuangan UMNO ialah untuk bangsa, agama (Islam) dan negara. Demikianlah pegangan UMNO kepada Islam sehingga Perlembagaan ciptaan UMNO mensyaratkan seseorang itu adalah Melayu jika dianya beragama Islam. Nik Aziz tidak akan memasukkan syarat ini kerana Melayu boleh jadi jahiliah dan tidak Islam kerana tidak sokong PAS.
9. Asas Islam mungkin tidak sama dengan nasionalisme. Penganut-penganut agama lain juga boleh jadi nasionalis. Ini tidak bermakna nasionalis Islam tidak Islam. Nasionalis yang terdiri daripada orang Islam memang berjuang untuk menegakkan agama Islam, memelihara negara Islam dan menjaga kehormatan agama Islam.
10. Mustafa Kemal Ataturk tidak menitik berat ke-Islamannya. Dia adalah seorang nasionalis. Pada masa dia berperang untuk negaranya, Turki dikuasai oleh orang Greek Kristian. Kerana nasionalismenya yang amat kuat, dia berperang sehingga Turki kembali ditakluk dan diperintah oleh orang Turki.
11. Dengan menyelamatkan Turki daripada orang Greek agama Islam terpelihara sehingga ke hari ini dan ke-Islaman orang Turki kekal. Sudah tentu Nik Aziz tidak akan akui orang Islam Turki adalah Islam.
12. Tidak ada keangkuhan yang lebih daripada seorang yang memikir dia sahaja Islam dan orang Islam lain tidak Islam dan tidak beriman kepada Allah s.w.t.
13. Terselamatnya banyak negara Islam yang dahulu dijajah adalah hasil perjuangan nasionalis Islam. Mereka nasionalis kerana mereka masing-masing sayang dan setia kepada negara mereka sahaja. Jika mereka hanya berjuang untuk Islam maka tumpuan mereka tentulah kepada membebaskan seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa atau negara. Tetapi hakikatnya mereka tidak berjuang untuk negara Malaysia dan agama Islam di sini. Yang berjuang untuk membebaskan negara kita dengan agama Islam di sini ialah nasionalis Islam Melayu.
14. Nik Aziz sendiri berjuang hanya di Malaysia dan tidak di seluruh dunia Islam yang hari ini menghadapi pelbagai jenis penindasan dan tekanan. Walaupun Nik Aziz mendakwa bahawa dia berjuang untuk Islam, tetapi dengan menghadkan perjuangannya kepada negara ini dia juga adalah nasionalis sama seperti nasionalis dalam UMNO. Jika orang UMNO jahil kerana nasionalisme mereka, Nik Aziz juga jahil kerana sebab yang sama.
15. Apakah nasionalis Melayu Islam tidak pernah menyatakan tujuan hidup ini? Jika Nik Aziz membuka mata dan telinga, mungkin dia akan melihat perjuangan UMNO untuk Islam secara yang terpampang dihadapannya dan mendengar segala yang diperkatakan oleh pemimpin dan ahli UMNO berkenaan perjuangan untuk Islam, orang Islam dan negara Islam. Saya tidak perlu ulang tujuan hidup nasionalis Islam Melayu ialah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan membuat ibadah tertentu, memelihara orang Islam dan agama islam bukan sahaja di Malaysia tetapi dimana sahaja orang Islam ditindas. Tuhan yang akan menilai pengabdian nasionalis Melayu Islam dan bukan Nik Aziz.
16. Sebaliknya apa yang keluar dari bibir Nik Aziz sebagai tujuan hidupnya ialah untuk memenangi pilihanraya dan menjadi pemerintah bersama DAP dan PKR. Untuk ini Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam UMNO, bersedia untuk bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan perjuangannya, bekerjasama dengan orang yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala PAS, mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran agama Islam. Harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini orang bukan Islam di Malaysia akan sokong partinya dalam pilihanraya. Bukan Islam yang diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah, tetapi kemenangan dalam pilihanraya.
17. Bolehkah Nik Aziz baca apa yang ada dalam hati orang Melayu UMNO Islam apabila mereka mengucap dua kalimah syahadah? Apakah Nik Aziz tahu apa yang ada dalam hati seseorang apabila dia berniat dalam hati semasa solat dan masa-masa lain. Apakah Nik Aziz percaya dia adalah manusia luarbiasa yang tahu apa ada dalam hati seseorang yang tidak sama dengan apa yang disebut olehnya?
18. Kuasa ini hanya ada pada Allah s.w.t. Adakah Nik Aziz juga mempunyai kuasa ini? Apakah pandangan Islam terhadap orang yang mendakwa dia boleh baca apa yang ada dalam hati manusia sepertimana Allah s.w.t. boleh membacanya.
19. Apakah dasar pejuangan UMNO telah saya jelaskan. Islam tidak menyuruh kita hanya membuat ibadat tertentu sahaja. Mempertahankan umat Islam di Malaysia adalah satu daripada yang diwajibkan ke atas orang Islam. Sebab itu orang yang terbunuh mempertahankan orang Islam dan negara mereka termasuk dalam golongan syahid.
20. Apakah usaha yang dibuat oleh Kerajaan pimpinan nasionalis Melayu Islam supaya keupayaan menyelamatkan umat Islam dan agama Islam di Malaysia ada pada negara ini tidak menepati satu daripada kewajipan orang Islam? Untuk pengetahuan Nik Aziz Kerajaan pimpinan Melayu Islam nasionalis berjaya menolong orang Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara tertentu sehingga serangan keatas mereka terpaksa dihentikan.
21. Untuk menunaikan kewajipan ini negara harus mempunyai kewangan yang cukup yang datang daripada peningkatan ekonomi negara. Akan mampukah kita menunaikan kewajipan ini jika kita papa kedana, selalu meminta-minta dan mengemis daripada orang lain. Perjuangan untuk membangunkan negara supaya pertahanannya lebih kukuh adalah kewajipan orang Islam. Tidak mencukupi jika kita hanya berdoa meminta pertolongan Allah s.w.t.
22. Apakah benar UMNO menghapuskan Jawi sehingga kita tidak dapat membaca Al-Quran? Tidakkah Kerajaan UMNO mengadakan sekolah agama, mata pelajaran Islam yang menggunakan tulisan Jawi? Kenapakah Harakah menggunakan tulisan Rumi? Bagaimanakah terdapat lebih ramai yang mempelajari agama sehingga ke peringkat universiti jika generasi ini buta Al-Quran, tidak boleh baca Jawi.
23. Peruntukan kepada sekolah agama rakyat dihentikan kerana bukan agama yang diajar di sekolah-sekolah ini tetapi politik pecah-belah parti PAS.
24. Tidak pernah saya membuat tuduhan yang Nik Aziz menyebabkan parti UMNO diharamkan, atau penubuhan Semangat 46 atau Parti Keadilan. Tetapi yang jelas ialah PAS memberi sokongan kuat kepada serpihan ini kerana gemar melihat perpecahan dan pengharaman UMNO.
25. Benarkah Islam menerima pecah belah sebagai satu perkara yang pasti berlaku seperti Nik Aziz katakan?
26. Tafsiran ayat 36 dalam Surah Al-Baqarah berbunyi demikian; "Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua (Adam dan Hawa) daripada syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan daripada nikmat yang mereka telah berada di dalamnya; dan kami berfirman, "Turunlah kamu. Sebahagian dari (keturunan) kamu menjadi musuh kepada sebahagian daripada yang lain; dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".
27. Ayat ini adalah berkenaan umat manusia yang sering berpecah belah dan bermusuh-musuhan sesama mereka.
28. Rujukan oleh Nik Aziz kepada ayat ini secara tidak langsung menjadi pengakuan oleh Nik Aziz yang dianya memang terlibat dengan pecah belah orang Melayu Islam.
29. Khusus bagi orang Islam, Allah s.w.t. berfirman (Ayat 10 Surah Al-Hujarat); "Innamalmukminu na ikhwana..." iaitu orang-orang yang beriman (mukmin) itu adalah bersaudara.
30. Ayat itu diteruskan dan maksudnya ialah, "maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."
31. Allah s.w.t. berfirman lagi dalam Al-Quran (Ayat 103, Surah Ali-Imran); "Dan berpeganglah kamu pada tali Allah (Al-Quran) dan janganlah kamu bercerai berai..."
32. Tak mungkin Nik Aziz tidak tahu akan ayat-ayat ini. Lebih mungkin Nik Aziz lupa dalam keghairahan menyalahguna agama untuk menghalalkan perbuatan yang ditegah. Yang jelas ialah Islam tidak menyuruh perpecahan di kalangan umat Islam.
33. Nabi Muhammad tidak memecah-belah orang Islam. Utbah bin Rabiah mengecam Nabi kerana agama Islam yang dibawa Baginda memecah belah kaum Quraisy (yang pada masa itu bukan semuanya Islam) kerana sebahagian daripada mereka telah memeluk agama Islam. Janganlah Nik Aziz banding dirinya dan apa yang dilakukan olehnya sama dengan Baginda Rasulullah. Baginda telah cuba menyatupadu orang Quraisy melalui Islam tetapi Nik Aziz menyeru supaya orang yang sudahpun Islam berpecah tiga dengan niat untuk melemahkan UMNO, musuh politik PAS.
34. UMNO tidak menculik ADUN PAS. Sebaliknya permusuhan antara pemimpin PAS Terengganu menyebabkan beberapa daripada mereka meninggalkan PAS untuk menyertai UMNO. Hari ini pun terlihat banyak peristiwa seperti ini berlaku. Jika mana-mana ahli PAS yang berpisah dari PAS untuk menyertai UMNO dan kemudian balik kepada PAS itu adalah pilihan mereka. Tidak ada paksaan atau tekanan dengan menyalahguna agama oleh UMNO untuk mendapat orang PAS.
35. Saya tidak tahu ada pilihanraya pada tahun 2003. Yang ada ialah Pilihanraya Umum 2004, di waktu mana saya bukan lagi Perdana Menteri dan PAS kalah teruk.
36. PAS tidak harus lupa di Memali enam orang anggota polis ditembak mati oleh pengganas Memali. Itulah sebabnya polis terpaksa tembak balas.
37. Iqraq ditafsir sebagai "baca". Membaca tetap akan memberi kita tambahan ilmu. Sebab itu intelek Islam dizaman dahulu mengejar ilmu dengan membaca dalam bahasa Greek ilmu yang diterokai oleh mereka itu. Tak mungkin mereka membaca tulisan Greek dengan mengguna bahasa Arab.
38. Selepas menguasai ilmu yang diterokai oleh orang Greek, orang India, Parsi dan lain-lain maka dapatlah intelek Islam menambah kepada ilmu sains dan matematik dengan hasil kajian mereka. Dengan itu juga bahasa Arab menjadi bahasa ilmu.
39. Orang Eropah terpaksa mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu mereka. Sementara itu orang Islam (Arab) menolak ilmu yang kononnya sekular, kerana kononnya tidak berkaitan dengan agama.
40. Ilmu terkini yang diterokai oleh bangsa Eropah ditulis hampir semuanya dalam bahasa Inggeris.
41. Sains dan matematik tidak seperti ilmu lain. Sains dan Matematik memperkenal banyak ilmu baru hasil kajian yang dibuat sepanjang masa. Semua hasil ini dihebah dalam bahasa Inggeris. Kita tidak mempunyai cukup pakar yang terlatih dalam bidang-bidang sains tertentu yang fasih dalam bahasa Inggeris dan Melayu untuk menterjemah beribu-ribu kertas kajian (research papers) dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya jika ilmu baru ini tidak dikuasai oleh orang Melayu, bahkan orang Islam, mereka akan ketinggalan jauh kebelakang, menjadi mundur dan lemah, mudah dipermain orang.
42. Bolehkah Nik Aziz perkenalkan seorang Melayu yang mempelajari Sains hanya dalam Bahasa Melayu yang mampu menulis kertas atau memahami tulisan berkenaan dengan nano sains atau theory of relativity atau perkiraan yang diperlukan untuk menghantar space shuttle supaya menemui dan dipasang kepada International Space Station.
43. Pada pendapat Nik Aziz apakah hanya dengan mengguna bahasa Melayu dalam mempelajari sains dan matematik kita akan jadi lebih Islam? Apakah Nik Aziz berpendapat dengan mengguna bahasa Malayu maka kita lebih Melayu, lebih setia kepada bangsa, lebih nasionalis, sedangkan Nik Aziz mendakwa Melayu tidak penting asalkan kita Islam, dan nasionalisme menjadikan kita kurang Islam. Apakah minat Nik Aziz kepada pengajaran dalam bahasa Melayu tidak mencerminkan sifat Nik Aziz sebagai seorang nasionalis juga, sama seperti orang UMNO. Nik Aziz harus tuntut supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Arab, bukan bahasa Melayu.
44. Islam tidak akan sempurna tanpa iman kata Nik Aziz. Saya tahu dan orang UMNO tahu. Tetapi bagaimana Nik Aziz boleh tahu seseorang Islam sempurna imannya atau tidak? Allah s.w.t. tahu tetapi apakah Nik Aziz mempunyai kebolehan seperti Allah Ta'ala?
45. Apakah Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah tidak berjasa kepada Islam apabila dia membina Masjid Dhirar? Jika membina sekolah agama tidak bermakna UMNO berjasa kepada Islam, kenapakah saya dikecam apabila peruntukan kepada sekolah agama ditarik balik setelah sekolah dijadikan pusat mengembangkan ideologi PAS untuk membenci UMNO?
46. Apakah oleh kerana di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama (yang dibangun oleh orang Islam) maka ini bermakna pembinaan sekolah agama oleh UMNO tidak bermakna berjasa kepada Islam. Apabila PAS mendirikan sekolah agama apakah PAS berjasa kepada Islam? Atau berjasa kepada parti?
47. Arak sekarang dijual dibawah pemerintahan PAS. Besar atau kecil tidak bermakna kebenaran menjual arak tidak bertentangan dengan Islam.
48. Judi dan arak memang haram bagi Islam. Saya jemput Nik Aziz secara terbuka tuntut rakan karibnya DAP supaya sekarang ini, sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah negara ini membuat pengakuan tertentu yang Kerajaan campuran Pakatan akan haramkan judi dan penjualan arak, disamping menerima hukum Hudud. Jika DAP enggan membuat kenyataan ini sanggupkah PAS mendakwa akan kalahkan calon DAP? Atau apakah PAS akan membisu berkenaan dengan negara Islam PAS, hukum Hudud, pengharaman judi dan arak kerana bukan dasar dan tujuan perjuangan PAS yang penting tetapi kemenangan dalam PRU dengan pertolongan DAP yang penting?
49. Akhir kata saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri. Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.
50. Justeru itu bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihanraya.
petikan blog Che det
Perpaduan Asas Keharmonian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment